Marah adalah salah satu sifat semula jadi manusia. Biasanya ia berpunca daripada tekanan perasaan, akibat dizalimi, dianiaya dan diperkecilkan. Marah adalah senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kebaikan dan kebinasaan. Jelasnya sifat marah boleh menjadi penyakit yang merosakkan keamanan dan keharmonian hidup.
Pada peringkat permulaan, sifat marah bukan penyakit, cuma luahan seseorang dalam bentuk tindakan dan tingkah laku. Ia adalah akibat daripada sesuatu sebab atau kesan yang kalau tidak berbuat demikian, kita berasa tidak selesa dan resah gelisah.
Sifat marah sudah mula bertapak di hati, jika tidak dibendung lama kelamaan akan memakan diri sendiri. Ia juga akan membawa padah kepada orang yang kita sayangi dan hormati, serta membawa keburukan serta kemudaratan kepada sekeliling kita.
Bagi membendung dan mengubati penyakit marah, Islam mengajarkan kepada kita satu ubat terbaik iaitu menahan diri tatkala marah dan sabar ketika hawa nafsu meluap-luap.
Rasulullah bersabda bermaksud: “Sesungguhnya marah adalah secebis api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada kedua-dua matanya yang merah dan urat-urat lehernya yang mengelembung? Maka apabila salah seorang daripada kamu berasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkan diri kamu ke muka bumi (duduk menenangkan diri atau sujud kepada Allah ).” (Riwayat al-Tirmizi)
No comments:
Post a Comment